Followers

Tuesday, June 15, 2010

Untuk Abah tersayang

Minggu ni kita akan menyambut Hari Bapa.Aku cukup rasa bertuah kerana abah masih ada disisi biarpun baru-baru kami sekeluarga mengharungi saat-saat mencemaskan bila abah admit ke unit CCU(Cardio Care Unit) kerana serangan jantung.Alhamdullilah,Allah masih memberi peluang abah bersama dengan kami sekeluarga.

36 tahun dulu semasa mak melahirkan aku,abah yang bertugas sebagai anggota tentera nyaris terkorban bila peluru komunis hampir terkena kepala abah.Selepas peristiwa itu,abah dimaklumkan tentang kelahiran aku.Pastinya kelahiran anak sulung mengembirakan abah dan abah tak sabar untuk pulang melihat aku.

Abah mendidik aku penuh dengan disiplin maklumlah aku dulu tinggal di kem tentera dan kenakalan zaman kanak-kanak bila diingat,kelakar pun ada.Abah memang susah nak marah tapi bila kemarahan meletus,memang aku takut sangat.Demi untuk menyara kami sekeluarga abah cari pendapatan sampingan seperti berniaga apam balik,goreng pisang dan menjual pinggan mangkuk dari Thailand yang memang popular masa tu.Berapalah sangat gaji seorang anggota tentera ketika itu.

Sampai hari ni aku masih ingat semasa darjah 2 ,aku pernah dipukul dengan tali pinggang askar warna hijau sehingga aku demam seminggu.Aku dipukul kerana abah telah menyediakan kelengkapan alat tulis untuk aku ke sekolah termasuk pemadam,aku yang ketika itu mengikut kata rakan sekelas aku ikat getah biasa kat hujung pensil dan gunakan sebagai pemadam.Kesan padam guna getah tu jadi hitam dan selalu terkoyak,Kerana takut abah marah aku koyak helaian buku yang dah ada kesan hitam tu dan tentu aku kena koyak helaian yang bersambung dengan helaian yang aku koyak memula tu.

Hasilnya kesan koyak dan hitam tu tak nampak tapi aku lupa buku tulis aku makin menipis.Seminggu sekali abah akan periksa buku-buku aku dan adik-adik dan ketika itu abah bertanya kenapa buku aku makin nipis.Aku yang dah takut ketika itu dengan nada terketar-ketar beritahu aku koyak buku.Apalagi singgah lah tali pinggang ke badan aku.Mak tak mampu nak tolong aku sebab aku yang salah.Berbelang-belang jugalah badan aku kena pukul.Kekesalan ada pada abah kerana tidak dapat mengawal kemarahan ketika itu,kekesalan kerana memukul aku sehingga aku demam pada keesokan harinya.Abah bawa aku ke RSAT(Rumah Sakit Angkatan Tentera) yang memang ada dlm kem.Semasa aku demam,abah ada kata abah pukul bukan kerana abah tak sayang tapi kerana anak abah buat sesuatu yang buat abah marah dan abah hanya nak mengajar aku.Aku yang ketika tu masih budak hanya mengalir airmata sebab sakit di badan masih ada.
Sejak dari peristiwa tu abah tak pernah pukul aku lagi.

Abah bukan seorang yang garang sebenarnya cuma jangan cuba buat abah hilang sabar.Setelah usia aku makin dewasa,aku sedar kenapa abah marah,kenapa abah pukul dan kenapa abah tegas.Abah mengajar aku erti tanggungjawab dan hasil didikan abah dalam usia 18 tahun aku mula mencari rezeki untuk membantu keluarga yang susah,aku ketepikan hasrat untuk sambung belajar hingga abah memujuk aku supaya mengikut bapa saudara yang tinggal di PD.Aku pernah tinggal beberapa bulan di rumah Pak Teh sambil menjaga 3 orang anak Pak Teh.Ketika itu usiaku 19 tahun aku sudah boleh memikul tanggungjawab menjaga 3 orang sepupu aku yang berumur 6 tahun,5 tahun dan yang bongsu tu 2 tahun ketika itu.Pak Teh hantar aku ke kelas komputer atas permintaan abah.

Terlalu banyak kenangan untuk diingat,suka duka yang aku lalui bersama abah mendewasakan aku.Adakalanya ada juga aku terkasar dengan abah dan buat abah bersedih.Aku hanya bertegas pada perkara yang aku tak nak abah susah.Aku tak nak abah aku sakit hati dengan perilaku orang yang suka mengambil kesempatan atas kebaikan abah.Sebelum aku ada kereta setiap pagi abah akan hantar aku ke tempat kerja dan akan jemput aku bila habis waktu kerja.Aku tak berani suarakan depan abah kalau aku teringin nak makan apa-apa sebab abah akan berusaha cari apa yang aku inginkan.Kasih sayang yang tak berbelah bagi untuk anaknya ini.

Untuk abah tersayang,terima kasih kerana menjadikan aku manusia dalam ertikata sebenar.Tak terbalas jasa abah membesarkan Kak Long dan adik-adik.Percayalah abah apa pun terjadi,Kak Long tetap ada disisi abah.Tak perlulah abah risau lagi jika tak dapat memberikan kami apa-apa.Kami adik-beradik sudah dewasa dan sudah masanya kami pula yang memberi untuk abah dan mak.Abah telah lama berikan kaklong dan adik-adik hadiah yang tak ternilai harganya iaitu pergorbanan dan kasih sayang.Selamat Hari Bapa untuk abah tersayang.




1 comments:

mytrajet74 said...

Selamat Menyambut Hari Bapa...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...